Skip to main content

Insan yang sentiasa dirindui (Lovely mummy $ abah)

Sebenarnya hampir dua tahun ingin ku coretkan mengenai insan yang amat dirindui, mak yang sudah hampir 3 tahun meninggalkan kami dan dan abah 24 tahun meninggalkan dunia ini.
Alhamdulillah Ya Allah walau kami tak kaya, tapi kami dilahirkan, dibesarkan oleh insan yang tabah dan penyayang.
Pengorbananmu amat bernilai dan akan selalu kami ingati wahai ibu.

Tak banyak yang dapat ku coretkan mengenai perjalanan hidupmu sewaktu kecil, berkahwin dan semasa di awal perkahwinan. Tapi yang paling diingati kisah di mana saat dirimu diuji dengan kematian orang yang amat dicintai, suamimu yang merupakan abah kami.

<Flashback>
Aku merupakan anak yang kelima, anak perempuan yang keempat dalam keluarga.
Alhamdulillah mak hamilkan adikku dan selamat melahirkan adik ketika aku berumur tiga tahun.
Kelahiran adik pada kali ini  membuatkan abah dan mak berulang alik ke hospital. Kuning adik tinggi dan menyebabkan adik dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan dan pencahayaan bagi menurunkan paras bilirubin adik. Ku masih ingat semasa aku dan abah melawat mak dan adik di hospital, adik masih di dalam balang inkubator. Aku yang ketika itu tertawa melihat adik yang memakai 'spek'. Mak dibenarkan pulang ke rumah terlebih dahulu. Beberapa hari kemudian, barulah adik dibenarkan pulang ke rumah.

Bahagia sangat. Abah bahagia adik dilahirkan dalam keadaan sempurna, putih bersih, comel.
Abah mengucapkan syukur atas nikmat yang Allah kurniakan.
Mak dijaga oleh ibu abah dan dibantu oleh ibu mak.
Abah pun meneruskan kudrat mencari rezeki untuk kami anak beranak sementara mak berpantang di rumah ditemani insan2 kesayangan mak.

Abah bekerja sebagai pemandu lori treler membawa barang untuk satu kilang di Sungai Petani ke seluruh smenanjung.
Pada satu ketika abah dikehendaki untuk menghantar barang ke Maran, Pahang.

Genap adik 30 hari, mak di rumah kerisauan kerana adik tak henti-henti menangis. Semua yang dirisaukan akhirnya terjawab pada malam itu apabila mak mendapat panggilan telefon daripada seseorang megkhabarkan berita abah kemalangan di Maran, Pahang.
Allahhhhhhhhh!!!!!

Mak tergamam dan menjerit saat itu. Aku yang ketika itu sedang bermain--main kaget dan hanya melihat kosong apa yang terjadi. Aku baru 3 tahun tapi masihku ingat segalanya dalam ingatanku.

Abah bersama seorang rakannya terlibat dalam kemalangan itu. Kenderaan yang dibawa terbabas ketika melalui jalan pergunungan saat hujan renyai-renyai membasahi bumi.

Abah tak dapat diselamatkan kerana jatuh ke bawah, ke dalam gaung. Innalillahiwaiinailaihiraji'un.
Pulangnya abah kepada pencipta semasa kemalangan.
Kami di rumah saat itu mempersiapkan apa yang patut sementara menunggu jenazah tiba. Dari Pahang ke Kedah. Kemalangan berlaku hari sabtu, hari isnin malam barulah jenazah abah tiba.
Sedara-mara, jiran tetangga dan sahabat mak datang untuk menenangkan mak.

Jenazah abah tiba, apa yang masih segar di ingatanku fizikal muka abah nampak sempurna, abah mengalami patah tengkuk, dari pinggang hingga ke kaki hancur dek kerana abah tersangkut di stereng treler semasa kenderaan yang dinaiki meluncur jatuh. Kawan abah ditimpa pokok dan turut meninggal dunia selepas beberapa hari.
Kami semua mengucup dahi abah buat kali terakhir. Pilunya hati kami, pilu lagi hati mak.
 Abah dikebumikan di masjid berdekatan rumah pada waktu malam.
Aku pun turut serta ke kubur dengan pak Lang. Apa yang aku ingat semasa jenazah abah dimasukkan ke dalam liang lahad, aku ketawa dan mengatakan yang 'hantu bungkus' dah nak ditanam daaaa... (Kanak-kanak 3 tahun  yang belum mengerti apa-apa. Pak Lang mengusap perlahan kepalaku.
Memori bersama abah tak banyak yang aku ingat kerana hanya 3 tahun bersama.

Ya Allah, ampunkan segala dosa abah aku, tempatkannya bersama orang yang beriman dan kurniakan dia tempat tertinggi di syurgaMu.

Kehidupan mak berlalu sepi untuk sementara waktu. Usai mak menghabiskan pantang adik, mak perlu memikirkan kami anak-beranak untuk meneruskan hidup. Abah meninggal tidak meninggalkan harta mahupun wang yang banyak. Pampasan nyawa juga tiada.

Mak mula mencari kerja untuk menyara hidup kami 6 beradik sesudah badan mak kembali pulih . Saat itu, kak long ku berusia 13tahun, abang 12 tahun, kak chaq 9 , kakchik 8, aku 3 tahun dan adik lebih kurang 3 bulan umurnya.
Kami masih kecil dan ramai. Ada beberapa orang yang menawarkan untuk menjaga kami tetapi mereka nak pisahkan kami. Aku antara pilihan orang ramai dengan kecomelan budak 3 tahun pada waktu itu. Akhirnya mak buat keputusan untuk tidak memisahkan kami dengan menjaga kesemuanya sendiri.

Punca pendapatan rezeki keluarga hilang dalam sekelip mata. Mak mula membuat kuih untuk berniaga demi mendapatkan wang untuk makan kami sekeluarga. Kuih-muih yang dibuat dihantar ke kantin sekolah di mana tempat kakakku bersekolah. Setelah beberapa bulan, mak diuji apabila tukang kantin sekolah iri hati dan tidak lagi membenarkan mak menghantar kuih di situ. Mak tak putus asa. Mak buat kacang kuda pedas dan ais krim malaysia pula. Kakak-kakakku membawa kacang kuda dan ais krim yang mak buat dan menjual pada kawan-kawan di sekolah kafa setiap petang. Apabila mak dah dapat duit lebih, mak membeli sebuah basikal dan mula bekerja di sebuah kilang sebagai operator di pekan yang terdekat. Mak berulang hari-hari dengan menaiki basikal yang jaraknya dalam 20-30km.
Setelah beberapa tahun, apabila adik sudah besar sedikit dalam lebih kurang umur 2-3tahun, mak pergi bekerja di kilang yang jauh dari tempat sebelumnya di Seberang Perai dengan gaji RM600 sebulan. Pahit getir hidup mak, tidak mak luahkan pada kami. Mak tekun bekerja demi mencari sesuap nasi. Untuk menyekolahkan kami adik-beradik. Walaupun mak sibuk bekerja pada siangnya, mak tetap mengajarkan kami muqaddam dan al-Quran pada malamnya. Didikan agama tetap diberi selain kami belajar di sekolah.
Sepanjang 15 tahun mak bersusah payah untuk kehidupan kami. Beberapa kilang telah mak bekerja dek kerana penutupan kilang sebelumnya.
Antara ketabahan mak yang aku ingat ketika mak bekerja, mak terpaksa bangun awal-awal pagi 3-4pagi untuk bersiap semasa mak kerja jauh di Perai dengan menaiki bas/van kilang.
Ada satu ketika, mak hilang sabar dan merotan kami apabila jiran yang menjaga kami beritahu mak yang kami mandi sungai tanpa pengetahuan mereka. Nakal juga kami waktu tu. Ampunkan kami mak, mak susah hati sebab kenakalan kami.

Ada juga peristiwa yang aku ingat semasa mak diintai oleh beberapa pemuda. Aku masih ingat ada satu waktu tu, mak beritahu ada orang mengintai, aku pun terus buka pintu dan membaling batu-batu yang ada di tangan masa tu. Geramm, sedih. Beberapa kejadian seperti itu berlaku dan satu peristiwa hitam telah berlaku dalam hidup mak yang tidak mak inginkan. Kami semua dihalau dari kediaman yang telah abah bina dan menyebabkan mak terpaksa berpindah pulang ke kampung halaman keluarga mak.

Kami tinggal bersama arwah tok, (mak kepada mak) untuk sementara waktu. Arwah tok bising juga sebab kami ramai adik-beradik menumpang di pondok tok yang kecil sahaja. Mak seperti biasa tekun mencari rezeki dan tidak mengendahkan sangat apa yang tok bisingkan. Mak ada juga memohon untuk membuat rumah bantuan (pprt kalau tak salah) tetapi tidak berjaya dek kerana hasutan seseorang yang melekehkan kami adik-beradik dengan alasan nanti tiada antara kami yang dapat membayar rumah tersebut setiap bulan. Akhirnya dengan belas ihsan adik-beradik mak, mereka mengumpul wang seorang sedikit bagi membantu mak beli tiang, papan dan zink untuk membina sebuah pondok untuk kami sekeluarga. Alhamdulillah pondok bahagia kami telah siap dibina. Walaupun kecil, hanya ada 2 bahagian rumah kayu, atas utk ruang tamu yang dibahagikan dengan almari untuk dibuat bilik, dan bahagian bawah until ruang dapur. Alhamdulillah kami bahagia. Mak macam biasa tekun bekerja mencari rezeki untuk kami. Mak kerja di kilang di bandar berdekatan.
Cuti pun macam tak cuti untuk mak sebab mak minta dekat bos untuk buat overtime nak cari duit lebih. Kami dapat bantuan zakat dari JKM sepanjang masih bersekolah alhamdulillah dapat bantu mak untuk lunaskan yuran persekolahan dan duit belanja. Walaupun tak banyak tapi Alhamdulillah Allah cukupkan.
Sungguh, aku saksikan pengorbanan mak untuk kami.
Betapa tekunnya mak bekerja. Ada satu hari tu hujan lebat, masa tu mak pergi kerja naik motosikal separuh jalan sebab van tak dapat nak masuk ambil dek kerana kedalaman jalan kampung. Hujan lebat, baju hujan mak hilang, aku pun tolong mak guntingkan plastik sampah untuk dibuat baju hujan. Ada juga hari yang mak memakai pakaian lusuh dahulu naik motor merentas hujan sebelum bertukar pakai uniform apabila tiba di tempat kerja. Mak memang pekerja kilang yang cemerlang, rekod bersih kerana kurangnya cuti dan rajin bekerja. Masa rehat mak ditemani segelas kopi dan kuih sahaja. Itu apa yang mak beritahu selepas aku tanya mak makan apa kat kilang :(
Pagi2 sebelum pergi kerja mak akan bangun awal pagi untuk masakkan kami anak-anaknya tapi kadang-kadang sahaja mak bawa bekal.
Aku rindu Ya Allah, pada sosok tubuh yang banyak berkorban untuk kami.
 Alhamdulillah aku dapat hadiahkan kejayaanku dalam UPSR 5A untuk mak. Masihku ingat mak keluar waktu rehat untuk ambil aku pulang dari sekolah selepas pengumuman keputusan UPSR. Dari jauh ku lihat mak tersenyum bangga untukku walau aku belum sempat menyampaikan berita gembira itu.
Kemasukan aku ke sekolah berasrama penuh dapat mengurangkan sedikit beban mak. Yela, aku antara pelajar projek khas di sekolah itu, dengan hanya membayar rm6 sahaja semasa pendaftaran sekolah pada 5/1/2005, aku dapat meneruskan pembelajaran di sekolah bijak pandai. Aku nendapat biasiswa persekutuan.
Tapi masa bersama mak sudah berkurang kerana aku di asrama.

Mak, semoga Allah tempatkan mak di tempat tertinggi di syurga inshaAllah. Didikan agama dan adab untuk kami anak-anak mak yang terbaik mak bagi . Mak tak pernah menceritakan keburukan orang, apatah lagi berdendam. Satu ja kunci kebahagiaan mak iaitu tidak pernah memendam rasa benci dan sentiasa memaafkan kesalahan orang walaupun bermacam-macam yang telah orang sekeliling katakan dan buat.
Mak seorang yang sangat positif. You are a strong mother indeed.
 Setelah 15 tahun mak bekerja sebagai operator kilang, akhirnya kakakku dapat kerja tetap sebagai nurse, guru dan seorang lagi supervisor di kilang. Kami semua menasihatkan mak supaya berhenti kerja dan berehat dengan meningkatnya usia mak.
 Biar anak-anak pula mencari nafkah untuk keluarga kita.

Mak berehat dan mula melibatkan diri dengan aktiviti rohani di kampung. Mak juga merupakan guru mengaji al-Quran bagi kanak-kanak berdekatan. Dugaan mak teruji pula dengan kes abangku yang seorang ini.
Mak banyak memikirkan masalah2 yang berlaku. Aku pernah mengatakan bahawa ini bahagian hidup kita mak. Walaupun mak diberi ujian dengan sikap anak lelaki tetapi alhamdulillah mak berjaya didik semua anak perempuan mak. Allah sayang mak. Allah sayang kita semua. Aku pula masih meneruskan lagi pendidikan di peringkat matrikulasi dan universiti. Tak banyak masa untuk diluangkan bersama mak selain cuti panjang.

Mak mungkin mengalami tekanan darah tinggi dan mungkin akan didiagnos pesakit darah tinggi jika mak menerima rawatan di klinik tetepi kengganan mak untuk memeriksa tekanan darah menyukarkan kami semua untuk mengetahui keadaan sebenar kesihatan mak.
Kak long juga baru sahaja memberitahu kami keadaan mak selepas peristiwa kematian arwah abah. Mak tak boleh menerima berita kemalangan atau kematian orang terdekat, jika dapat berita mak akan menggigil ketakutan yang amat.

Alhamdulillah aku berjaya menghabiskan pengajianku di peringkat universiti. Setelah setahun lebih, aku menerima tawaran sebagai pegawai farmasi ptovisional di hospital berdekatan rumah. Mak seronok sangat apabila aku mengkhabarkan berita itu.
Semasa aku baru bekerja dalam minggu kedua di situ, itulah peristiwa yang tak dapat aku lupakan. Peristiwa yang memisahkan kehidupan mak dengan kami semua. Pagi itu semasa sedang tidur, aku mendengar suara mak tersekat-sekat dan aku terus mengejutkan mak. Aku panik, panggilan aku diabai oleh mak. Ku usap-usap ubun-ubun mak sambil berselawat dan bertasbih. Aku terus menelefon adik beradik yang lain. Kak long tinggal berdekatan juga terus datang selepas diberitahu. Aku dan adik di rumah ketika itu masih lagi dalam usaha menyedarkan mak. Jiran sebelah rumah yang merupakan seorang nurse juga turut datang. Pagi yang kaget dan panik. Ku periksa denyutan nadi mak semakin rendah. Ambulans dihubungi. Nurse sebelah cuba melakukan CPR sementara menunggu ambulans tiba tetapi denyut nadi mak semakin perlahan dan terus berhenti. Ya Allahhhhhhhhh. Peristiwa yang tidak disangka-sangka kerana mak sebelumnya tidak langsung menunjukkan tanda-tanda yang dia akan pergi untuk selamanya. Kelmarinnya masih ceria bercerita, menunggu kepulanganku pulang dari kerja, kelmarinnya masih lagi menaiki motosikal pulang ke kampung, kelmarinnya masih lagi tertawa dengan kami semua. Jika ada pun tanda,kami masih tidak sedar akan itu Ya Allah. Mak sempat menghabiskan hafalannya Surah Al-Mulk, Al-Kahf dan Al-Waqiah .
Aku jadi saksi mak bersungguh mencuba untuk hafal 3 surah itu sebelum tidur malam2 sebelumnya. Aku juga jadi saksi ramadhan terakhir mak, mak memaksimumkan ibadah kepada Allah. Dari bangun tidur sehingga tidur malamnya dipenuhi ibadah. Ya Allah, Egkau mengambil nyawa mak, ampunkan segala dosa mak Ya Allah, lapangkan kuburnya. Pengakhirannya husnul khatimah. Ambulans tiba dan penolong pegawai perubatan mengesahkan kematian mak.  Jenazah mak tidak sesekali kutinggalkan tanpa alunan al-Quran yang dibaca sementara menunggu kakak2ku dari Sarawak dan Perak tiba. Alhamdulillah jenazah mak dimandikan, disiapkan oleh anak-anak sendiri dengan bantuan tukang menguruskan jenazah. Aku diberi kepercayaan untuk mengambil wudhuk untuk mak buat kali terakhir, membaca doa untuk mak dan diaminkan oleh semua yang hadir ziarah, mengiringi jenazah mak dalam van jenazah sehingga ke tanah perkuburan. Mak dikuburkan di sebelah kubur tokwan dan kubur abah.

Tetamu yang datang melawat semuanya terkejut dengan pemergian mak yang tidak disangka-sangka apatah lagi kami anak-anak mak. Mereka mengatakan bahawa mak bahagia sebelum meninggal. Mak bahagia dengan kejayaan dan kehidupan anak-anak sebelum mak meninggal. Mak banyak bercerita tentang kesenangan hati mak. inshaAllah mak, semoga mak bahagia di sana. Kita jumpa di syurga ya mak. Rindu mak, sayangggggg mak sangat-sangat.

Allahummaghfirlahum warhamhum wa'afihiim wa'fu'anhum.

Ini adalah ceritaku, kenanganku bersama ibunda tercinta.
Anakanda ke-5 Noratikah Azmi
Alfatihah untuk
Ibunda Salmah Osman
Ayahanda Azmi Ismail

Comments

  1. Semoga kita dpt berkumpul semula di syurga yg abadi...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Makna FIQH

Alhamdulillah Ya Allah diberi kesempatan untuk bersama-sama menuntut ilmu dalam taman-taman syurga di Seminar Fiqh Wanita anjuran Majlis Ilmu Pulau Pinang walaupun mendaftar lambat, sehari sebelum program. Allah sebaik-baik perancang. Majlis dimulakan dengan ucapan dan seterusnya pengisian tazkirah ringkas oleh Imam Masjid Abdullah Fahim yang mana beliau diminta pada saat-saat akhir untuk memberi tazkirah sementara menanti kedatangan Ustazah kesayangan, Ustazah Norhafizah Musa yang delay flightnya.  Ma Ma'ana Fiqh Ya Muslimah?? Fiqh bererti Fekah. apa itu fekah? Fekah bererti faham, satu nikmat yang sangat besar. Tahu dengan sebenar-benar tahu. (Makrifahbittaqif) Dan apabila kita tahu sesuatu ilmu itu, hendaklah kita beramal dan berkongsi kerana hakikat ilmu untuk dikongsi.  Wanita dan Gelisah Setibanya ustazah Nurhafizah di ILP, terus di mulakan majlis. Ustazah menceritakan tentang gelisahnya dirinya pada awal pagi tadi untuk melalui beberapa ujian di airport. Ustazah menghadiahka

k-FIQH --> Wanita Solehah Pendamai Dunia

Bismillahirrahmanirrahim.. entry kali ini adalah sedikit perkongsian yang saya dapat di konvensyen fiqh wanita dan Islam. Salah satu tajuk yang telah dibentangkan adalah Wanita Solehah Pendamai Dunia oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman. Kami telah dibekalkan beberapa keping 'lecture note' supaya tidak ketinggalan semasa sesi pembentangn tersebut. Sesungguhnya apabila disingkap sejarah yang lalu, kedudukan wanita di muka bumi ini sangat dipandang rendah, apatah lagi pada zaman jahiliyyah. Wanita sebelum Islam muncul sangatlah diperkotak-katikkan. Umar Al-Khattab pernah berkata: "Kami semasa jahiliyyah tidak menganggap wanita itu mempunyai apa-apa (nilai). Sebelum Islam datang, apabila wanita sedang dalam haid, mereka dihalau keluar dari rumah kerana dianggap sangatlah jijik. Bayangkan, setiap bulan wanita akan dihalau keluar dari rumahnya. Astaghfirullah, jijik sangatkah wanita yang sedang haid, padahal apabila haid, wanita itu sedang mengeluarkan darah kotor dari ba

Tika hati gundah gulana

Ya Allah .. hanya kepada-Mu aku mohon.. supaya menenangkan hati yg gundah gulana tatkala masalah melewati diri ini.. Ya Rabbul Izzati.. bantulah hamba-Mu ini supaya tabah menghadapi ujian dari-Mu.. Aku bersyukur Ya Allah yg telah mengujiku dan memberi peringatan agar tidak leka dgn keduniaan semata2.... "Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yg kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri. Perkara utama harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dgn baik berlandaskan kenyataan." "Orang yang cekal dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, tidak pernah merasa terancam dengan perkataan atau perbuatan yang remeh dan tidak disengajakan. Sebaliknya mereka akan menumpukan perhatian ke arah mencapai matlamatnya." "Jangan lakukan semua yang kamu ketahui, jangan berbelanja semua yang kamu miliki, jangan percaya semua yang kamu dengar dan jangan memberitahu semua yang kamu dengar." "Doa memberikan kekuatan pada orang yang