Di copy dari blog MencintaiDia.com
“Andai ada yang ingin masuk meminang, akan ku pertimbangkannya dalam-dalam. Aku kini lebih matang berbanding dahulu.”
Itu butir kata perbualan saya dengan Murabbi saya. Tidak tahu apa yang merasuk saya, namun kami punya perbincangan itu. Saya fikir saya tidak bercanda, jauh sekali bergurau senda, saya tahu dia dapat menerimanya, namun seketika itu dia hanya diam seribu bahasa.
****
Rasanya tidak salah saya katakan, anak muda sekarang ingin benar cepat kahwin. Ingin menjaga diri katanya, adapun ingin ada orang yang menjaganya. Lebih manis cintanya selepas kahwin. Malahan, itu bukanlah sesuatu yang salah, saya malahan memuji anak muda yang punya cita-cita ingin lekas bernikah. Jika diteliti maksud hadis,
“Apabila seseorang melaksanakan pernikahan, bererti telah menyempurnakan separuh agamanya, maka hendaklah ia menjaga separuh yang lain dengan bertaqwa kepada Allah”(HR Baihaqi dari Anas bin Malik)
Saya juga tidak terkecuali. Teman-teman saya juga begitu. Alangkah cemburunya melihat rakan sebaya sudah membina masjid, mendirikan rumah tangga. Biasanya, tidak banyak yang saya nyatakan berkenaan soal ini, mengetahui perihal diri saya yang sudah pun diberi pilihan oleh Allah, berkali-kali (baca: 2 kali).
Ini kisah saya. Tidak ada niat mahu mengaibkan mana-mana pihak mahupun mengajar kefahaman “kahwin” atau “nikah” kepada sesiapa. Saya juga tidak sempurna. Mohon cuma diambil pengajarannya.
Pilihan. Pada pendapat saya, saya kira ramai juga yang beranggapan bahwa mereka tidak diberi pilihan yang cukup, atau mungkin pilihan yang ada sukar sekali ingin dilaksanakan. Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Susah benar ingin memilih mahu ditelan atau diluah, hingga pernah saya mendengar satu jenaka bahwa jika begitu, biarkan sahaja di dalam mulut, jangan ditelan atau diluah, tidak mahu ada orang yang mati! Namun, sampai bila bukan?
Pilihan itu datang tanpa pernah kita duga. Begitu juga ujian Allah. Hayati ayat Al-Quran yang bermaksud,
“Apakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan dengan berkata, kami beriman kepada Allah, sedangkan mereka belum diuji. Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang terdahulu daripada mereka semata-mata untuk mengetahui mereka benar-benar beriman atau mereka berdusta untuk beriman kepada Allah.” (Surah al-Ankabut: 2-3)
Bagi saya, pilihan itu juga ujian. Dalam konteks hal ini, ujian berat yang sangat besar bagi saya. Saat itu, bagaikan tidak tertanggung hati kecil saya ini menerimanya. Hanya Allah yang tahu.
Istikharahlah!
Jujur saya nyatakan, itu pertama kalinya saya mendirikan solat sunat istikharah. Jahilnya saya, sedangkan istikharah itu bukan cuma untuk jodoh.
Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”
(HR Bukhari)
(HR Bukhari)
Begitu lemah hati saya, lama benar saya menangis, tanpa membuat pilihan. Ada seketika itu, saya marah pada diri saya sendiri, mengapa saya begitu buntu untuk membuat pilihan. Ada yang berkata, “Pilihannya cuma dua – kalau suka terimalah, kalau tidak suka boleh menolak bukan?” Namun, saya benar-benar tidak tahu apa yang saya inginkan. Saya inginkan kebaikan, bukankah ini suatu kebaikan? Bagaimana harus saya tolak kebaikan? Saya fikirkan apa hikmah Allah beri saya semua ini, adakah saya benar-benar ikhlas kepadaNya. Ikhlaskah saya?
Saya merasa begitu bersalah, sedang niatnya nampak tulus. Jika saya katakan ya, urusan pernikahan akan berlangsung setahun kemudian. Di kala usia 18 tahun, saya benar-benar kurang ilmu dalam hal ini. Kesudahannya, tiada mimpi yang saya terima, cuma keyakinan hati saya. Saya benar-benar harap itu petunjuk Allah buat saya.
Bagi saya, petunjuk istikharah itu boleh datang berbagai cara. Tidak semesti dapat jawapannya jelas ya atau tidak. Cukuplah kekuatan saya meneruskan keputusan yang saya pilih. Saya bulatkan tekad dan kekuatan saya, dan saya beranikan diri saya membuat pilihan. Itu pertama kalinya saya rasa berat benar hati saya menyatakannya.
Bagaimana dengan Istisyarah?
Saya takut benar ingin berbincang hal ini dengan ibu bapa saya. Bimbang terkejut mereka nanti. Itu memang salah satu kesilapan saya mengendalikan hal ini. Padahal istisyarah (usaha mengumpul pendapat baik buruk) itu perlu sebelum istikharah (minta ketetapan hati membuat keputusan). Hal ini kerana, saya sendiri tidak mengetahui keinginan hati saya. Entah apa dan bagaimana harus saya khabarkan pada mereka. Namun, di kalangan sahabat- sahabat yang sudah sedia tahu, saya minta pendapat mereka satu persatu.
Sesuatu yang saya ingat amat, ialah saat teman baik saya datang menenangkan saya. Dari jauh dia datang menemui saya, saya begitu terharu. Sungguh saya sangat berterima kasih atas segala bantuan yang saya terima saat saya menerima ujian itu.
Teman karib saya, dia tidak banyak bicara. Minta saya bersabar, lalu diberikannya saya satu buku untuk saya baca. Aku Terima Nikahnya oleh Hasrizal Abdul Jamil. Hanya dua hari saya perlukan untuk khatam buku itu, diulang lagi bahagian di mana saya perlu penjelasan lanjut (jika bukan kerana terlalu banyak menangis, sehari mungkin cukup menghabiskan bacaan tersebut).
Segala ini saya lakukan sebagai usaha saya mencari jawapan saya. Saya yang cetek ilmu, perlu benar dengan bantuan ilmu sebegini.
Melihat perkahwinan sebagai medan untuk menerima, menjadikan kita sering gelisah dan hidup meminta-minta.
Melihat perkahwinan sebagai medan untuk memberi, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan.
Melihat perkahwinan sebagai medan untuk memberi, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan.
Sebenarnya, saya memang tidak punya alasan kuat difikir akal untuk menolak. Waktu saya menolak juga, saya tidak beri alasan mahupun menyebut kekurangan dirinya. Tidak ada seingat saya. Memang saya menilai, namun menilai baik buruknya itu pada saya, bukannya menilai tahap kebaikan keburukan orang. Tidak mampu saya menjadi ahli nujum! Akhir kisah itu, saya khabarkan juga pada ibu saya, hanya setelah saya memberi jawapan dan tenang denganya. Ibu hanya senyum, namun jelas dia terkejut. Saya benar-benar tidak dapat meneka hati ibu.
****
“Sungguh, aku tidak mengetahui apa yang ada dalam hatimu. Mintalah pada Allah, Dia lebih mengetahui yang terbaik buat dirimu”
Lantas lama berfikir, itu jawapan Murabbi saya. Saya amati dalam-dalam namun ianya tidak bermakna sehingga beberapa seketika kemudian.
Geloncak hati yang kuat buat saya ingin mencari. Ingin menerima. Namun saat hal itu datang, saya kembali terkesima. Saya sangka saya sudah bersedia, ternyata Allah Maha Mengetahui segala-galanya.
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.” (Al-Baqarah: 286)
Kedua kalinya, benar, saya lebih matang. Menangisnya juga tidak selama dahulu. Saya mulakan dengan istisyarah, saya langsung nyatakan kepada ibu apa yang sebenarnya-benarnya, juga mendapatkan pendapat teman-teman. Kata ibu, dalam usia saya kini, seharusnya saya dapat berfikir dengan lebih matang. Apatah lagi, dalam usia yang sama, saudara seibu seayah saya mendirikan rumah tangga.
Tiada halangan dari pihaknya. Sungguh, bernas sekali pandangan mereka, tanpa mereka pasti saya masih mencari-cari dalam kelam. Saya timbal hati saya, juga natijah keputusan saya. Masih berat, namun saya gagahi menghadapi ujian ini sekali lagi.
Paling menusuk hati saya ialah, saat saya sibuk ingin mencari, Allah beri pada saya. Dia benar-benar beri! Ya Allah, sungguh aku sering alpa dan lupa padaMu, Kau ampunilah segala kesalahanku. Hanya saya, diri saya, yang tidak mampu menerima apa yang diberi. Sekali lagi saya tertanya-tanya apa yang saya inginkan. Seharusnya saya cari cinta Allah, bukannya cinta manusia. Sayu hati ini memikirkan itu.
Sekali lagi saya menolak. Berderai air mata saat memikirkan kesalahan diri ini. Sungguh Allah sangat sayangkan hamba-hambaNya.
Kini saya lebih tenang. Tidak kira sama ada saya ialah Fatimah yang masih menunggu Ali datang meminangnya, mahupun hanya seorang anak muda yang sangat tinggi citarasanya, saya cuma ingin kembali pada Allah, mencintai Dia. Baru-baru ini, saya secara kebetulan mendengar lirik lagu nasyid yang berjudul, “Sahaja aku mencintaiMu” nyanyian Du’a dan Ustaz Amal.
“Ku cinta pada-Mu
Lebih dari segala-gala
Mampukah kupertahankan cinta ini
Dalam mengabdikan diri pada-Mu..
Lebih dari segala-gala
Mampukah kupertahankan cinta ini
Dalam mengabdikan diri pada-Mu..
Andai ada kata yang lebih baik
Dari ucapan terima kasih
Pastikan kuucap setulus hati
Tanda cintaku pada-Mu
Dari ucapan terima kasih
Pastikan kuucap setulus hati
Tanda cintaku pada-Mu
Andai ada hadiah yang lebih baik
Dari melodi syukurku
Semestinya kupersembahkan pada-Mu
Tanda cintaku pada-Mu
Dari melodi syukurku
Semestinya kupersembahkan pada-Mu
Tanda cintaku pada-Mu
Setiap hela nafas
Setiap gerak tangan
Setiap degup jantung
Setiap gerak kaki
Setiap gerak tangan
Setiap degup jantung
Setiap gerak kaki
Takkan pernah bermakna
Tanpa cinta-Mu..”
Tanpa cinta-Mu..”
Allah memang benar-benar menguji percakapan dan perbuatan saya. Sudah sesuatu yang pasti bahawa Dia mengetahui apa yang ada dalam benak hati saya, sedang saya sendiri tidak mengetahui. Kini saya lebih berhati-hati berbicara, agar tidak dipersoalkan tutur kata itu dengan ujian yang tidak saya mampu.
Sungguh, kadang kala kita menginginkan sesuatu itu kuat amat, namun apa yang Allah beri itulah yang terbaik buat kita. Saya ingin sekali menjadi ikhlas, mendapatkan sesuatu hanya keranaNya. Manusia memang banyak merungut apabila mendapat sesuatu yang tidak elok pada pandangan dirinya, sedang Allah sudah menyatakan,
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui…” (Surah al-Baqarah: 216)
Dengan itu, nasihat saya, yakinlah! Teruskan menjadi yang terbaik buat kekasih hatimu. Wallahualam bi shawab.
*Murabbi – Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.
Comments
Post a Comment